Ajal Ketika Ulang Tahun
Posted by Admin2u on Friday, 7 February 2014 | 0 comments
ROMPIN – Seorang pekerja ladang sawit integrasi Batu 6, Janglau, dekat sini ditemui mati di rumah kongsi ladang oleh seorang rakan sekerjanya kira-kira jam 8.10 pagi ketika mahu mengejutkan mangsa untuk bersiap pergi kerja.
Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang juga seorang warga Indonesia, Darwin, 52, tidak sedarkan diri walaupun beberapa kali dikejutkan, justeru rakan mangsa segera memaklumkan insiden itu kepada pengurus ladang.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa memiliki pasport dan tarikh lahir yang tertera pada pasportnya adalah sama dengan tarikh dia ditemui mati.
“Mangsa dipercayai sudah bekerja di ladang terbabit kira-kira lima tahun.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat namun keputusan masih belum diketahui,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan IPD Rompin, semalam.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah dikebumikan di kampung halamannya di Indonesia.
Sumber Sinar Harian
0 comments for "Ajal Ketika Ulang Tahun"
Leave a reply