Kahwin Muda Tidak Menghalang Kerjaya

Posted by Admin2u on Thursday 13 February 2014 | 0 comments


KOTA BHARU – Perkahwinan pada usia muda bukan penghalang kerjaya pemain pertahanan The Red Warriors (TRW), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, 24, dan pasangan, Nor Farah Alia Ahmad
Ramzi, 20, menjalani rutin harian masing-masing walaupun berlainan bidang.

Malah, Nik Mohd Shahrul Azim yang juga dikenali dengan gelaran Pok Nik dalam kalangan penyokong dan rakan sepasukan menyifatkan, pengalaman baru bergelar suami memberi semangat berlainan terutamanya persiapan menghadapi perlawanan besar selepas ini.

“Saya makin bersemangat, perkahwinan ini langsung tidak akan jejaskan perancangan masa saya untuk pasukan, malah perkahwinan banyak mematangkan kami yang mungkin ‘terlalu muda’ menghadapi cabaran alam suami isteri.

“Walaupun selepas ini masing-masing akan berjauhan buat sementara, kami sudah bersedia untuk memahami kerjaya masing-masing. Apa yang penting, sokongan isteri sentiasa bersama saya dan berharap dia akan menjadi suri hidup saya yang solehah serta setia hingga akhir hayat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, hampir 500 tetamu memenuhi dewan utama Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) semalam, bagi menghadiri majlis resepsi perkahwinan pasangan tersebut yang turut dihadiri pegawai pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), pemain bola sepak Kelantan dan keluarga kedua-dua mempelai.

Nik Mohd Shahrul Azim yang berasal dari Rantau Panjang dan Nor Farah Alia, melangsungkan perkahwinan pada 8 Februari lalu, selepas bertunang pada 23 Ogos setelah setahun saling mengenali.

Nor Farah Alia yang kini menuntut di semester dua Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan pendidikan Kemahiran Hidup berharap pasangannya akan menjadi seorang suami bertanggungjawab, penyayang dan tidak mengabaikan keluarga.

“Suami sebagai seorang atlet sukan harus pandai membahagi masa bersama keluarga selepas ini, selain menjadi suami terbaik buat saya dan membimbing keluarga kami ke jalan yang diredhai,” katanya menerusi tayangan video yang ditayangkan.

Ibu Nor Farah Alia, Siti Faridah Ilias Khan ketika ditemui tidak sangka anak ketiga daripada lima beradik itu akan melangsungkan perkahwinan dengan pemain bola sepak.

“Syukur alhamdulillah, saya harap Nik Mohd Shahrul Azim akan jaga Nor Farah Alia sebaik mungkin selepas ini. Biar pun umur mereka masih muda, tebalkan kesabaran, faham memahami dan saling membantu dalam hal keluarga, itu yang paling penting,” katanya.

Sumber SinarHarian

Pin It

0 comments for "Kahwin Muda Tidak Menghalang Kerjaya"

Leave a reply

Most Popular

Buletin Archives

Recent News

Like Our FanPage

Follow Us

BackLink

    Blogged.my   Backlink - Waazin Blog      
PingBlog.Net | Himpunan Terbaik Artikel Blogger