MB Minta Pemain T-Team Bersumpah??

Posted by Admin2u on Saturday 8 February 2014 | 0 comments


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akan memanggil kesemua pemain T-Team serta pihak pengurusan pasukan berstatus kelab itu untuk melakukan sumpah al-Quran di depan beliau sendiri dalam waktu terdekat ini, lapor NOOR HAYATI MAMAT.

Beliau yang ternyata kecewa dengan keputusan dibuat FAM berhubung kemelut antara T-Team dan JDT itu, menyarankan pengurusan dan pemain pasukan JDT turut melakukan perkara sama (sumpah al-Quran) bagi memastikan siapa di pihak yang benar.

Menurut Ahmad, sumpah itu dijangka dilakukan Isnin atau Selasa ini dalam usaha mencari kebenaran berhubung insiden itu, sambil menyifatkan keputusan dibuat FAM tidak profesional serta hanya bersikap ‘double standard’.

“Saya akan panggil pasukan T-Team dan semua yang berkaitan, kita akan dapatkan penjelasan sebenar dan akan minta mereka yang saksikan insiden itu bersumpah al-Quran depan saya, termasuklah Muhd Irfan Ghani.

“Apakah dia (Muhd Irfan) lihat sendiri apa yang berlaku. Saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa, bila rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana kena memanaskan badan di padang.

“Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar. Saya minta JDT juga bersumpah al-Quran bagi memastikan siapa berada di pihak yang benar. Kita bukanlah bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa alasan tertentu.

“Saya dimaklumkan, T-Team diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing. Jadi, sudah tentulah ia melibatkan soal keselamatan dan sepatutnya ini diambil kira FAM. Saya kecewa dengan keputusan dibuat FAM,” katanya di Kampung Pelandan, di sini, semalam.

Ahmad turut mempersoalkan kewibawaan FAM sambil menyifatkan badan induk itu membuat satu keputusan yang tidak profesional, kerana keengganan T-Team meneruskan perlawanan adalah setelah mengambil kira faktor keselamatan pemain.

“Difahamkan, keputusan FAM berasaskan laporan dan komisioner perlawanan, mungkin mereka tak terlibat dalam terowong serta tidak ketahui cerita sebenar. Sepatutnya jawatankuasa FAM perlu meneliti dengan lebih mendalam.

“Bagaimanapun kita akan serahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan pengurusan T-Team sama ada perlu mengemukakan surat bantahan atau sebaliknya berhubung keputusan FAM itu,” katanya.

Sumber SinarHarian

Pin It

0 comments for "MB Minta Pemain T-Team Bersumpah??"

Leave a reply

Most Popular

Buletin Archives

Recent News

Like Our FanPage

Follow Us

BackLink

    Blogged.my   Backlink - Waazin Blog      
PingBlog.Net | Himpunan Terbaik Artikel Blogger