Abe Mad Kecewa dengan Sikap FAM

Posted by Admin2u on Sunday 9 February 2014 | 0 comments


HULU TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mempersoal tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwa gagal mengambil kira isu keselamatan dalam insiden membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA minggu lepas.

Beliau mengulas tindakan FAM yang memberi kemenangan percuma 3-0 kepada JDT pada Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin. 

Ahmad Said berkata pasukan T-Team bukanlah bodoh untuk menarik diri sesuka hati pada perlawanan itu dan FAM sepatutnya meneliti lebih mendalam perkara berkenaan, bukannya membuat keputusan berdasarkan laporan pengadil serta pegawai terbabit semata-mata.

"Kalau tidak kerana faktor keselamatan, kerana apa? Saya dimaklumkan pasukan Terengganu terpaksa diiringi keluar oleh polis, dan mereka diiring hingga ke sempadan Mersing serta diminta jangan pakai jersi. Apakah itu bukan kerana soal keselamatan?" katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan Dewan Undangan Negeri Telemong, semalam.

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong.

Ahmad mendakwa keputusan FAM itu tidak wajar kerana pengadil dan pegawai perlawanan tidak melihat apa yang berlaku dalam terowong sewaktu perlawanan berhenti rehat pada separuh masa pertama.

"Ya, saya memang kecewa dengan sikap FAM, inilah sebenarnya yang menyebabkan bola sepak negara ini tidak ke mana berbanding Korea dan Jepun, yang menjadi saingan Malaysia suatu ketika dahulu.

"Korea dan Jepun kini sudah mara ke separuh akhir Piala Dunia tetapi Malaysia masih terkial-kial kerana pengurusan yang tidak berwibawa, tidak bertanggungjawab dan tidak berkebolehan," katanya.

Beliau turut meminta pemain dan pegawai T-Team yang menyaksikan kejadian di terowong Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor baru-baru ini, termasuk pemain pertahanan pasukan itu, Mohd Irfan Abdul Ghani, bersumpah menggunakan Al-Quran bagi menegakkan kebenaran.

Dalam pada itu, Ahmad berkata beliau tidak akan campur tangan dalam urusan bantahan kepada FAM.

"Itu terpulang kepada pengurusan bola sepak... tapi yang pastinya, saya tahu pihak pengurusan tidak akan cakap banyak sebab bola sepak di Malaysia ini kalau cakap banyak, akan kena gantung.

"Malah sebab itu juga saya tidak mahu pegang Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) walaupun didesak ramai orang. Saya tahu kalau saya pegang jawatan Presiden, paling kuat enam bulan kot, lepas itu kena gantunglah," katanya. - Bernama

Pin It

0 comments for "Abe Mad Kecewa dengan Sikap FAM"

Leave a reply

Most Popular

Buletin Archives

Recent News

Like Our FanPage

Follow Us

BackLink

    Blogged.my   Backlink - Waazin Blog      
PingBlog.Net | Himpunan Terbaik Artikel Blogger