Guna Selebriti Tarik Orang Muda
Posted by Admin2u on Friday, 7 February 2014 | 0 comments
TANJUNG BUNGAH - Trend menjemput selebriti popular untuk program pengimarahan masjid kini semakin popular.
Pengerusi Kariah Masjid Terapung Tanjung Bungah, Roslan Abu Bakar berkata, tujuannya hanya mahu menarik golongan muda ke masjid seterusnya mengenali masjid dengan lebih dekat.
Menurutnya, sama seperti dengan Masjid Terapung Tanjung Bungah di sini apabila turut menjemput beberapa selebriti terkenal termasuk Amy Search, Akhil Hayy juga termasuk penceramah popular, Ustaz Haslin Bollywood dan Ustaz Hanif Azmir dari TV9.
“Apabila ada program sedemikian, golongan muda lebih ramai akan datang dan melihat selebriti berkenaan dan seterusnya dapat mendekati masjid, ini kerana kami tidak mahu hanya golongan ‘pakcik atau makcik’ sahaja yang berada dekat dengan masjid.
“Hubungan antara anak kariah juga akan semakin rapat,” katanya pada Karnival Maulidur Rasul di Masjid Terapung Tanjung Bungah.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1), Datuk Mohd Rashid Hasnon; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), Datuk Sazali Hussein; Penaung Masjid, Datuk Seri Nazir Ariff dan Datuk Yusof Taiyoob.
Pengerusi Karnival, Ahmad Faziel Shamsudin berkata, karnival pertama kali itu turut menghimpunkan lebih 1,000 anak kariah dalam kawasan Tanjung Bungah.
Menurutnya, kira-kira 12 kontinjen terlibat dengan perarakan sempena Maulidur Rasul.
“Selain itu, aktiviti sedemikian juga memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mempromosikan barang perniagaan masing-masing,” katanya.
Setiausahanya, Yahaya Ishak berkata, penceramah bebas terkenal, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid akan memeriahkan Masjid Terapung Tanjung Bungah pada Mac 2014.
“Orang ramai dijemput datang, ini kerana sasaran kami setiap hari masjid ini akan penuh,” katanya.
0 comments for "Guna Selebriti Tarik Orang Muda"
Leave a reply