Samun Stesen Minyak Maut Dibelasah Orang Ramai
Posted by Admin2u on Saturday, 8 February 2014 | 0 comments
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki menyamun sebuah stesen minyak di Jalan Kepong dekat sini, berakhir dengan kematian apabila dia dibelasah orang ramai yang berang dengan tindakannya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek memasuki stesen minyak itu bersama seorang rakan dengan sebuah motosikal kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin.
“Suspek mengacukan parang kepada juruwang dan meminta menyerahkan wang serta beberapa kotak rokok. Apabila suspek keluar, dia dikejar dan dipukul oleh beberapa orang awam.
"Rakannya menunggu di seberang jalan menghala arah bulatan Jalan Kuching, memecut motosikal selepas melihat rakannya dikejar.
“Pemeriksaan mendapati suspek mengalami luka parah di bahagian kanan muka dipercayai dihentak dengan batu. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," kata Zakaria.
Katanya, setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat dan polis mengambil keterangan lima saksi kejadian termasuk pekerja stesen minyak dan pelanggan.
“Kita meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian boleh menghubungi Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul, Asisten Supritendan Zulkifli Mohd Yaassin di talian 019-2580008.
Dalam kejadian berasingan di Cheras, seorang penyamun dikehendaki polis dan mempunyai enam rekod jenayah, cedera ditembak selepas merompak sebuah pasar raya di Desa Tun Razak awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Sigh berkata, suspek berusia 37 tahun, ditembak selepas cuba menyerang anggota polis yang cuba menahannya.
Sumber Sinar Harian
Sumber Sinar Harian
0 comments for "Samun Stesen Minyak Maut Dibelasah Orang Ramai"
Leave a reply